XKo3-fRwbtY2AsxT6qpqt53rltk

Followers

Wednesday, 26 March 2014

Tragedi MH370 : Berita Tergempar Buat Boeing..

Bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang hilang memfailkan permohonan kepada Mahkamah Amerika Syarikat semalam, memohon 26 jenis maklumat dan rekod daripada syarikat penerbangan dan pembuatnya Boeing, lapor Bloomberg.

Permohonan itu dibuat oleh Januari Siregar - bapa kepada penumpang Indonesia, Firman Chandra Siregar - yang difailkan di Mahkamah Negeri Illinois di Chicago, boleh jadi menjadi permulaan kepada tindakan saman.

Ia difailkan oleh sebuah syarikat guaman yang berpangkalan di Chicago, Ribbeck Law Chartered bagi pihak Januari.

Bapa itu memohon 26 jenis maklumat, termasuk data yang memungkinkan kecacatan pesawat buatan Boeing 777-200 ER atau komponennya, cara syarikat penerbangan melatih kakitangannya dan maklumat berkaitan kargonya, lapor Bloomberg.

Rakan kongsi firma guaman itu, Monica Kelly dipetik sebagai berkata, Januari menuntut "kemungkinan kelemahan reka bentuk dan pembuatan yang menyumbang kepada kemusnahan ini."

Pesawat MKH370 hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Isnin lalu kemungkinan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, tanpa ada yang selamat.

Keluarga mangsa di Beijing mengkritik kerajaan Malaysia kerana membuat kesimpulan pesawat ini berakhir di Lautan Hindi tanpa ada yang selamat dengan berkata, belum sampai waktunya kerana tiada sebarang serpihan ditemui hingga kini.

Najib sebelum ini berkata, kesimpulan itu dicapai berdasarkan data satelit daripada Inmarsat.

Firma guaman itu berkata, petisyen mendapatkan bukti itu juga yang dibuat ketika permulaan tindakan saman ke atas Penerbangan Asiana selepas terhempas di lapangan terbang San Francisco yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan 181 penumpang yang lain pada 6 Julai tahun lalu, lapor Bloomberg.

"Itulah kebiasaannya kita memulakan proses," kara Mervin Mateo, jurucakap firma itu sebagaimana yang dipetik semalam:"Kami mempunyai pakar tersendiri dalam penyiasatan ini."

"Jika bangkai tidak ditemui, kita akan ada sedikit bukti sahaja atau tiada langsung, tindakan akan bergantung kepada siasatan firma dan maklumat berdasarkan kemalangan kapal terbang yang lepas.

"Kami fikir mungkin ada sesuatu yang tidak kena kepada pesawat dan latihan kepada juruterbang," kata Mateo, tanpa menolak kemungkinan rampasan atau sebab lain sehingga menghilangkan pesawat itu.

Saman terhadap Asiana masih berjalan selepas firma guaman memohon kes itu dipindahkan ke mahkamah negeri. Boeing sebelum ini memindahkan kes itu kepada mahkamah persekutuan, dengan hujah laluan penerbangan itu adalah di atas air yang dikuasai oleh pihak berkuasa persekutuan.

Boeing, kata Bloomberg, tidak mahu memberikan sebarang komen manakala MAS belum memberikan maklum balas.

Juga ada laporan yang mengatakan keluarga boleh menerima sekurang-kurangnya US$175,000 (RM578,025) atau lebih pampasan daripada MAS berdasarkan Konvensyen Montreal 1999.

Persetujuan antarabangsa menetapkan syarikat penerbangan perlu membayar pampasan kepada setiap penumpang yang mati atau cedera dalam kemalangan, walaupun sebabnya tidak diketahui.

Jika syarikat penerbangan tidak boleh menunjukkan satu-satunya punca pesawat hilang kerana pihak lain, seperti pembuatnya atau pengganas, tanggungannya berdasarkan ketetapan itu adalah lebih tinggi, kata laporan itu.

Penuntut juga dikatakan akan mempunyai peluang lebih besar jika boleh menarik kes ini ke Amerika, di mana "pampasan dan penyelesaiannya akan lebih besar berbanding negara Asia".

"Semua orang mahu pergi ke Amerika," kata seorang peguam firma guaman New York, Dorothea Capone kepada Bloomberg. ~tmi



Iklan C (ii)


No comments:

Post a Comment

Maaf.. komen yang menggunakan bahasa kesat, lucah dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan. Komen spam juga akan dibuang..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...